Monday, 18 September 2017

BAGAIMANA ANAK ANGKAT MEWARISI HARTA PUSAKA?

Anak angkat tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka ibu bapa angkatnya mengikut hukum faraid. Ini kerana anak angkat tiada hubungan pertalian darah secara syarak dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkat mengikut hukum syarak sekali pun anak tersebut telah dibinkan kepada bapa angkat di dalam sijil kelahiran.

Bagaimana pun, bukanlah ini bermakna anak angkat dibiarkan begitu sahaja sehingga tidak diberikan apa-apa oleh ibu bapa angkat atau waris-waris kepada ibu bapa angkat itu, bahkan sesetengahnya terus meminggirkan anak angkat selepas kematian ibu atau bapa angkatnya.

Persepsi terhadap anak angkat oleh sesetengah pihak yang meminggirkan anak angkat sepeninggalan ibu bapa angkatnya disebabkan oleh fahaman mereka bahawa anak angkat tidak berhak mewarisi, sebenarnya tidak tepat. Berilah sebahagian daripada harta pusaka ibu bapa angkat kepadanya atau setidak-tidaknya kasihilah mereka sebagaimana ibu bapa angkat menyayangi mereka.

Sebenarnya hukum faraid ditentukan oleh Allah s.w.t. untuk mewariskan harta pusaka kepada kaum keluarga yang mempunyai pertalian darah dengan si mati. Soalnya, bagaimana nasib anak angkat yang sememangnya tidak mempunyai pertalian darah dengan ibu bapa angkatnya? Bolehkah mereka mewarisi harta pusaka ibu dan bapa angkat sedangkan ibu bapa angkat sangat menyayangi mereka seperti anak kandung mereka?

Islam agama yang adil dan prihatin kepada semua golongan manusia. Memang benar anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka secara faraid. Tetapi Allah maha mengetahui dan bijaksama membenarkan ibu bapa angkat ‘mewariskan’ sebahagian daripada harta mereka kepada anak angkat melalui Hukum Wasiat.

Dengan berwasiat, anak angkat akan mewarisi paling maksimum 1/3 daripada harta pusaka ibu bapa angkat mereka, manakala baki 2/3 bahagian lagi akan diwarisi oleh waris-waris si mati secara faraid.

Kesimpulannhya, anak angkat seperti mana anak kandung juga berhak mewarisi harta pusaka, cuma bezanya mereka mewarisi secara penerima wasiat sedangkan anak kandung mewarisi secara ketentuan faraid. Sekian.