Sunday, 1 October 2017

SOAL JAWAB PUSAKA & FARAID

(1)
SOALAN:
Bukankah harta pusaka orang Islam akan dibahagikan terus ikut hukum faraid selepas kematian?

JAWAPAN:
Faraid adalah tatacara pengagihan berdasarkan hukum syarak yang telah menetapkan bahagian tertentu kepada waris tertentu berdasarkan surah An-Nisa ayat 11, 12 dan 176, tetapi ianya tidak berjalan secara terus selepas kematian.

Sebaliknya harta pusaka akan terbeku dan tidak boleh dibahagikan. Untuk membolehkan harta pusaka diagihkan kepada waris-waris, perlu melalui proses pentadbiran iaitu mendapatkan surat kuasa mentadbir atau probet.


(2)
SOALAN:
Apakah yang dimaksudkan dengan Faraid tidak berjalan terus dan harta terbeku?

JAWAPAN:
Selepas kematian, harta pusaka akan terbeku yang bermaksud sebarangtransaksi tidak dapat dijalankan termasuklah mengeluarkan wang dari dalam bank, menutup akaun, menukar nama di dalam geran dan memperbaharui cukai jalan kenderaan.

Terdapat 2 peringkat yang perlu dilalui oleh harta pusaka bagi membolehkannya dipindah miik kepada waris iaitu:
1. Pentadbiran bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir untuk memindahmilik harta kepada waris yang masih hidup; dan
2. Pengagihan berdasarkan kepada kaedah yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Oleh itu, jika peringkat pertama tidak selesai, pengagihan tidak dapat dijalankan. “


(3)
SOALAN:
Saya dan suami ada membeli rumah dan meletakkan dua nama - nama suami dan nama saya. Pinjaman rumah atas nama saya. Bagaimana jika suami saya meninggal dunia dahulu?

JAWAPAN:
Bagi rumah yang atas dua nama, setiap pemilik secara langsung mempunyai hak milik sebanyak 50% seorang. oleh itu apabila berlaku kematian pada salah seorang, maka bahagian pimilik yang telah meninggal dunia itu akan menjadi pusaka dan difaraidkan.

Jika hutang atas nama pemilik yang masih hidup, hutang tersebut akan terus dibayar oleh pemilik (penghutang) yang masih hidup walaupun 50% bahagian rumah tersebut telah ditukar kepada nama waris faraid pemilik yang telah meninggal dunia.


(4)
SOALAN:
Saya telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan dan saya berhasrat mewasiatkan harta saya kepada suami dan anak saya.
Adakah seorang wanita juga perlu mengikut sistem faraid untuk memberi harta kepada keluarganya?
Adakah saya perlu mengikut sistem faraid atau saya boleh terus mewasiatkan harta kepada mereka?

JAWAPAN:
Ya, harta pusaka orang Islam, tidak kira lelaki atau perempuan adalah tertakluk kepada faraid.

Di dalam wasiat boleh dinyatakan hasrat pewasiat tanpa mengikut had faraid. Selepas kematian, wasiat yang mana pengagihan hartanya tidak mengikut had faraid memerlukan persetujuan semua waris faraid. jika waris faraid setuju dengan hasrat pemberian pewasiat, maka hasratnya dilaksanakan.


(5)
SOALAN:
Adakah caruman KWSP boleh wasiatkan?

JAWAPAN:
Ya. Boleh.


(6)
SOALAN:
Saya meletakkan isteri sebagai penama di dalam KWSP. Adakah isteri aya akan mendapat keseluruhan wang KWSP saya?

JAWAPAN:
Ya, isteri akan mendapat keseluruhan wang KWSP tersebut tetapi bertanggungjawab sebagai wasi yang mana wajib membahagikan wang tersebut kepada waris faraid mengikut hukum faraid.


(7)
SOALAN:
Saya meletakkan anak saya yang berumur 10 tahun sebagai penama dalam KWSP. Bagaimana jika saya meninggal dunia ketika anak saya masih di bawah umur?

JAWAPAN:
Wang KWSP tersebut tidak dapat dikeluarkan kepada anak sehingga cukup umur 18 tahun. Biasanya wang tersebut akan dipindahkan ke Amanah Raya untuk dipegang sehingga anak anda dewasa.

Anda boleh melantik wasi di dalam wasiat dan wasi tersebut boleh mengeluarkan wang KWSP tersebut untuk dibahagikan kepada waris anda atau untuk digunakan bagi kebajikan anak anda sementara menunggu anak anda dewasa.

(8)
SOALAN:
Saya telah menganut agama Islam dan ibubapa masih beragama Buddha. Adakah ibu bapa saya akan mewarisi harta pusaka saya selepas saya meninggal dunia nanti?

JAWAPAN:
Hanya orang Islam boleh mewarisi daripada orang Islam. Oleh kerana ibubapa anda bukan Islam mereka tidak boleh mewarisi daripada anda.


(9)
SOALAN:
Saya telah bercerai dengan isteri saya. Bolehkah bekas isteri saya menuntut hak terhadap harta pusaka saya apabila saya mati nanti?

JAWAPAN:
Tidak. Bekas isteri tidak berhak mewarisi dari bekas suaminya.


(10)
SOALAN:
Saya anak angkat. Ibubapa angkat saya masih lagi hidup. jika mereka meninggal dunia nanti, bolehkan saya mewarisi harta pusakanya memandangkan ibubapa angkat saya tiada anak kandung?

JAWAPAN:
Tidak. Anak angkat tidak mewarisi harta pusaka ibubapa angkatnya melainkan ibubapa angkat tersebut menulis wasiat dan memberi sebahagian hartanya kepada anak angkat di dalam wasiat.

(11)
SOALAN:
Saya adalah anak luar nikah. Bolehkah saya mewarisi daripada ibubapa sebenar saya?

JAWAPAN:
Hanya boleh mewarisi dari ibu sahaja.


(12)
SOALAN:
Bolehkah saya menulis wasiat dan memberikan kesemua harta saya kepada isteri saya? Adakah waris saya yang lain boleh menuntut?

JAWAPAN:
Boleh menulis wasiat dengan memberikan kesemua harta kepada isteri. Wasiat tertakluk kepada faraid, oleh itu waris faraid yang lain boleh menuntut hak faraid mereka.




credit: http://pakarpusakaislam.blogspot.my/p/soal-jawab-pusaka.html

No comments:

Post a Comment