Tuesday, 28 November 2017

WASIAT KEPADA WARIS YANG LAYAK MENERIMA PUSAKA

Apakah hukum jika seseorang itu mewasiatkan harta kepada saudaranya yang turut berhak mendapat bahagian mirath ( pusaka )?”





Soalan sebegini kerap muncul dikalangan masyarakat. Ia kelihatan ringkas, namun soalan ini perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum menjawabnya. Antaranya:-


1. Wasiat.

Perkataan wasiat seperti yang difahami oleh orang awam tidak sama dengan pengertiannya dengan maksud agama. Wasiat pada mereka hanya difahami sebagai satu permintaan oleh seseorang sebelum kematiannya agar ditunaikan apabila meninggal kelak. Namun, pada agama, wasiat merupakan harta peninggalan yang dikurniakan kepada seseorang yang mesti mengikut syarat-syarat tertentu.


2. Kadar wasiat.

Telah disepakati bahawa kadar wasiat yang dibenarkan dalam agama TIDAK BOLEH MELEBIHI 1/3 daripada harta peninggalan. Ini berdasarkan pertanyaan seorang sahabat kepada baginda SAW:-
أفأتصدق بثلثي مالي قال لا قال قلت أفأتصدق بشطره قال لا الثلث والثلث كثير إنك أن تذر ورثتك أغنياء خير من أن تذرهم عالة يتكففون الناس
"Adakah boleh aku sedekahkan 2/3 hartaku?", jawab baginda “tidak”, aku bertanya lagi "Adakah boleh aku sedekahkan dengan separuh?, jawab baginda “tidak”, "Satu pertiga?" jawab baginda SAW "satu pertiga itu banyak, sesungguhnya engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya lebih baik daripada meninggalkan mereka mengemis dengan manusia lain" (HR Muslim )
Walaubagaimanapun ada sebilangan ulama membenarkan kadar ini melebihi 1/3dengan syarat mestilah dengan PERSETUJUAN waris-waris lain.


3Siapa yang layak menerima wasiat? 
Antara syarat yang melayakkan seseorang itu menerima wasiat secara AUTOMATIK ialah seperti berikut:- 
1. Tidak layak menerima mirath ( pusaka )
2. Diketahui orangnya
3. Masih hidup.


Wasiat kepada ahli keluarga.
Jika wasiat itu dikurniakan kepada ahli keluarga atau waris yang tidak layak menerima mirath ( pusaka ), ia dibenarkan bahkan disunatkan.

Namun jika wasiat itu ditujukan kepada waris yang sudah berhak mendapat mirath ( pusaka ) terdapat dua pendapat dalam hal ini:-

Pendapat pertama : Harus dengan SYARAT mendapat persetujuan ahli keluarga yang lain. Pendapat ini dipelopori oleh mazhab Hanafi, sebahagian ulama mazhab Maliki, sebahagian ulama mazhab Syafie dan sebahagian ulama mazhab Hanbali.

Ini berdasarkan hadith:-
لا وصية لوارث إلا أن يجيز الورثة
Tidak ada wasiat kepada waris melainkan mendapat kelulusan waris-waris
( HR Darulqutni, didhaifkan oleh Albani)
Pendapat kedua : Wasiat itu TIDAK SAH. Pendapat ini merupakan sebahagian ulama Maliki, sebahagian ulama mazhab Syafie, sebahagian ulama Hanbali dan mazhab Zohori.

Hujjah mereka berdasarkan:
لا وصية لوارث.
Tiada wasiat kepada para waris ( HR Abu Daud, disahihkan oleh Albani.)
إن الله أعطى كل ذي حق حقه ألا لا وصية لوارث

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan kepada setiap yang berhak itu haknya, maka tidak ada wasiat kepada waris.(  HR Ibnu Majah dan Abu Daud, disahihkan oleh Albani)
Kesimpulan

Walaupun ulama berbeza pendapat dalam isu ini, namun tujuan mereka adalah sama. Mereka yang tidak membenarkan wasiat kepada waris yang sudah layak memperolehi mirath ( pusaka ), menguatkan hujjah mereka dengan tujuan untuk menjaga hubungan persaudaraan antara keluarga. Ini dikhuatiri berlakunya fitnah.

Begitu juga mereka yang membenarkan wasiat ini dengan bersyarat. Ia MESTI dipersetujui oleh waris. Ini bagi mengelak keadaan yang tidak diingini berlaku selepas pembahagian.

Pada zaman kini, kebanyakkan undang-undang negara mengambil pendapat kedua ( keharusan memberikan wasiat kepada waris yang sudah layak dengan pusaka dengan SYARAT ia dipersetujui WARIS yang lain ). Antaranya undang-undang kekeluargaan Jordan, Mesir, fatwa negeri Terengganu ( 1987 ), dan fatwa negeri Kelantan.


Penyelesaian.

Tidak dinafikan niat orang yang ingin mewasiatkan hartanya kepada waris berkemungkinan besar ingin membantu waris tersebut. Namun, ia sangat perlu dilaksanakan dengan berhati-hati memandangkan bukan mudah untuk mendapat keredhaan setiap waris.

Hakikatnya, orang yang memberi wasiat perlu menyedari bahawa sebaik sahaja dirinya meninggal dunia, hartanya BUKAN MILIKnya lagi. Justeru itu apa yang berkaitan dengan si mati seperti hutang, pusaka dan wasiat perlu diurus berdasarkan undang-undang dan tuntutan agama. Jika wasiatnya bertentangan dengan agama, maka ia terbatal.

Oleh yang demikian, jika ingin membantu warisnya yang dalam kesusahan, sebaiknya salurkanlah ketika masih hidup lagi samada dalam bentuk zakat, sedekah ataupun hadiah. Cara ini lebih selamat daripada fitnah kelak. Begitu juga ganjaran pahala yang diperolehi juga lebih besar.


No comments:

Post a Comment