Tuesday, 12 December 2017

WASIAT DAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA




APA TU? WAJIB KE BUAT?

Image result for CONFUSSE
Seorang saudara telah bertanya mengenai pembahagian harta pusaka serta beri satu kes sebagai contoh untuk diselesaikan. Sebelum menjawab soalan beliau, kami turunkan dahulu ayat-ayat al-Qur'an yang bersabit, supaya penjelasan yang bakal dibuat jadi lebih licin. Kami akan beri sedikit komentar ke atas ayat-ayat tersebut, dan berharap para pembaca dapat membantu dengan membetulkan kesilapannya setelah ia dikesan.
Wasiat

Perkara utama dalam pembahagian harta pusaka ialah buat wasiat. Suruhan buat wasiat disebut dari awal lagi di dalam al-Qur'an. Daripada ayat al-Baqarah yang berkenaan dapat difahamkan iaitu bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan) adalah wajib buat wasiat sebelum mereka meninggal dunia. Wasiatnya memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara. Ayat yang dimaksudkan berbunyi,
"Dituliskan (ditetapkan) bagi kamu, apabila seseorang antara kamu didatangi kematian, dan dia tinggalkan kebaikan (harta), supaya buat wasiat memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara dengan baik - suatu kewajipan kepada orang-orang bertakwa." (2:180)
Kemudian, sekiranya kandungan wasiat difikirkan tidak adil atau berdosa maka ia harus dibetulkan dengan rundingan antara pihak-pihak yang terlibat. Al-Qur'an didapati amat jelas mengenai perkara tersebut:
"Jika seseorang takut akan penyimpangan, atau dosa, daripada orang yang berwasiat itu, lalu dia membetulkan antara mereka, maka tidaklah ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:182)
Wasiat patut juga mengandungi peruntukan untuk isteri selama setahun dan pembayaran sewa rumah, kalau rumah yang didiami disewa. Peringatan itu datang daripada ayat berbunyi,
"Dan orang-orang antara kamu yang mati dan tinggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka buat wasiat untuk isteri-isteri mereka, peruntukan untuk setahun tanpa mengeluarkannya; tetapi jika mereka keluar, maka tidak salah ke atas kamu mengenai apa mereka buat pada diri-diri mereka sendiri dengan baik; Allah Perkasa, Bijaksana." (2:240)
Selanjutnya, difahamkan iaitu nama-nama penerima harta pusaka yang dinyatakan di dalam wasiat hendaklah termasuk "orang-orang yang terikat dengan sumpah" orang yang berwasiat, seperti anak angkat, anak tiri, atau apa yang dikatakan "tangan-tangan kanan kamu miliki" (sila rujuk Tangan Kanan Miliki). Fahaman berdasarkan ayat berikut:
"Dan bagi tiap-tiap orang, Kami lantik waris-waris daripada apa yang ibu bapa dan sanak saudara tinggalkan, dan orang-orang yang terikat dengan sumpah kamu, maka beri mereka bahagian mereka; sesungguhnya Allah adalah saksi atas segala sesuatu." (4:33)
Dua orang saksi diperlukan dalam wasiat, yang terdiri daripada mereka yang mempunyai keadilan di kalangan kenalan orang yang berwasiat atau dua yang lain jika dia sedang dalam perjalanan. Dan mereka akan bersumpah jika orang yang berwasiat ragu-ragu. Demikianlah dinyatakan oleh ayat di bawah:
"Wahai orang-orang yang percaya, kesaksian antara kamu apabila salah seorang daripada kamu ditimpa maut, apabila dia berwasiat, ialah dua orang empunya keadilan antara kamu, atau dua yang lain daripada selain kamu, jika kamu berpergian di bumi, dan bencana maut timpa kamu. Kemudian kamu akan tahan mereka sesudah solat, dan mereka akan bersumpah dengan Allah, jika kamu ragu-ragu: 'Kami tidak akan menjualnya untuk suatu harga, walaupun ia sanak saudara yang dekat, dan kami tidak juga akan sembunyikan kesaksian Allah, kerana jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang yang berdosa.'" (5:106)
Oleh yang demikian, wasiat dibuat walau dalam keadaan apa jua pun. Kerana ia wajib.
Wasiat daripada Allah
Apabila si mati (maaf atas kegunaan kata tersebut) tidak tinggalkan sebarang wasiat maka pembahagian harta yang ditinggalkan hendaklah menurut wasiat daripada Allah yang akan dijelaskan sebentar lagi. Atau, terdapat harta yang tidak disebut di dalam wasiatnya, maka harta itu dibahagi antara waris-waris menurut wasiat daripada Allah itu juga.
Tambahan lagi, sebelum harta si mati dibahagikan, hutangnya dikira, andaikata dia berhutang, dan dibayar daripada harta yang ditinggalkan. Hutang dibayar walaupun sudah mati.

No comments:

Post a Comment