Sunday, 15 October 2017

3 SALAH FAHAM TENTANG HARTA PUSAKA

1. Tulis Wasiat Untuk Agih Harta Kepada Anak

Rata-rata apabila ditanya kepada ibubapa sekarang, bagaimana nak agihkan harta kepada anak mereka? Jawapannya yang diberi ialah wasiat. Sebenarnya bukan. Ini salah faham biasa yang ada di masyarakat Melayu, barangkali kerana melihat 3 Abdul berulang kali. Hehe. Untuk pengetahuan, TIADA WASIAT untuk waris.

Jika anda seorang ibubapa, ada buat wasiat untuk beri sama rata kepada anak, atau anda tiada anak lelaki. Jadi anda buat wasiat supaya anda dapat bagi sama rata kepada anak, atau beri semua harta kepada anak perempuan anda.

Wasiat anda tidak sah dari segi syarak.
Dari segi syarak, wasiat tidak boleh diberikan kepada waris berdasarkan hadis ini:

Daripada Abi Umamah berkata, “Aku telah mendengar Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassallam bersabda, Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memberikan kepada orang yang berhak haknya, ketahuilah tiada wasiat kepada ahli waris” (Hadits Riwayat Abu Daud).

Situasi 1

Ali ada 2 anak lelaki, 2 orang anak perempuan. Ali ingin mengagihkan sama rata kepada anak lelaki dan anak perempuan. Kerana kasih sayangnya yang tidak berbelah bahagi. Oleh itu, Ali pun membuat wasiat dengan syarikat A dan juga peguam A. Ali menulis semua pesanan dalam wasiat itu bagaimana anak anaknya agihkan hartanya supaya adil.

Apabila Ali meninggal dunia, anak semua berkumpul untuk bincang agihan harta pusaka.

2 orang anak perempuannya bersetuju ikut wasiat, 2 orang anak lelaki pula tidak bersetuju dengan wasiat dibuat oleh arwah Ayah, sebab dia rasa rugi. Lelaki dapat 2 bahagian, kenapa perlu ikut wasiat untuk agih sama rata. Akhirnya, pergagihan mengikut faraid kerana ada 2 waris tidak bersetuju. Di sini adik-beradik sudah bermasam muka kerana anak perempuan terasa dengan perlakuan anak lelaki yang nampak sangat mengejar harta ayahnya dan tidak dengar pesanan ayahnya.

Kesudahan, adik-beradik bergaduh kerana tidak puas hati dek kerana pusaka arwah ayah. Harta pusaka menjadi puaka.

Sekarang, apa fungsi wasiat ini? Lihat point seterusnya.

2. Apa Fungsi Wasiat Sebenarnya?

Fungsi wasiat ialah 2:

(i) Melantik wasi/pentadbir/pemegang amanah

Tugas wasi ialah menjalankan proses pusaka arwah dengan amanah. Tugasnya amat berat dan banyak perlu dibuat tanpa mengharapkan sebarang balasan. Namun besar pahala mereka yang menjadi wasi ini kerana membantu arwah mengagihkan harta pusakanya. Peranan Wasi amat penting di Mahkamah Tinggi kerana jika tiada pelantikan wasi oleh arwah. Kes tidak diteruskan selagi tidak jumpa 2 orang penjamin.

Situasi 2

Ali tidak melantik wasi. Tiba-tiba beliau terkena serangan jantung. Arwah meninggalkan harta dalam nilaian 4 juta. Oleh itu, waris yang ingin menuntut harta perlu mencari 2 orang yang sama harta 4 juta sebelum membuat proses Probate.

Disebabkan anak-anak Ali tidak tahu mencari siapa. Akhirnya harta arwah sudah setahun tidak dapat dicairkan. Akhirnya harta umat islam tidak dimanfaatkan kerana proses yang sukar serta kos yang tinggi di mahkamah Tinggi.

(ii) Wasiat 1/3 untuk amal jariah

Kita masih boleh mendapatkan saham akhirat kita walaupun kita sudah meninggal dunia. Bagaimana? Wasiatkan 1/3 dari harta pusaka anda untuk disedekahkan. Di sini tidak perlu persetujuan waris kerana ini sememangnya hak arwah untuk bersedekah. Waris wajib ikut. Yang boleh tidak diikut oleh waris jika wasiat yang anda buat melebihi 1/3 harta anda.

Haa jangan pening ya!

a. Wasiat wajib ikut – 1/3 amal jariah.
b. Wasiat tidak wajib dikut – wasiat yang lebih 1/3 untuk beri kepada waris.

Dalil yang membenarkan wasiat 1/3 ini dibuat ialah perbualan ayah Saad Bin Abi Waqqas dengan Rasulullah saw.

Daripada Saad bin Abi Waqas r.a, daripada bapanya dia berkata, Aku telah sakit yang teruk ketika di Mekah. Kemudian aku sembuh dari sakit yang boleh membawa mati. Maka Rasulullah saw sentiasa datang melawatku, kemudian aku bertanya Rasulullah saw,

‘Wahai Rasulullah! Aku mempunyai harta yang banyak dan tidak ada yang akan mewarisiku melainkan seorang anak perempuan. Apakah boleh aku sedekahkan dua pertiga (2/3) daripada hartaku?’

Jawab Rasulullah saw, ‘Tidak!’.
Aku berkata; Bagaimana kalau separuh (1/2)?
Jawab Rasulullah saw, ‘Tidak!’
Aku berkata, ‘Kalau satu pertiga (1/3)? Jawab Rasulullah saw, ‘Satu pertiga (1/3) itu sudah banyak.

Sesungguhnya adalah lebih baik kamu meninggalkan anakmu kaya dari meninggalkan mereka miskin, meminta-minta daripada orang lain. Sesungguhnya apa yang kamu belanjakan akan diberi pahala walaupun sesuap makanan kepada isterimu’.

Di sinilah yang membenarkan anda boleh membuat wasiat 1/3 untuk amal jariah anda di akhirat nanti. Jadi, jika saya nak agihkan harta kepada anak saya, apa yang perlu saya buat?

3. Cara Pengagihan Melalui Hibah

Jika anda jatuh dalam kategori di bawah:
  • Pasangan suami isteri yang tiada anak
  • Pasangan yang mempunyai anak perempuan sahaja
  • Individu yang berpoligami
  • Pasangan yang mempunyai anak perempuan dan lelaki
  • Individu bujang/tidak berkahwin dan tiada waris
  • Individu yang berkahwin semula selepas kematian pasangan asal
  • Suami Isteri yang membeli harta secara bersama (Joint Ownership)
  • Pasangan yang mempunyai anak OKU (perlukan jagaan khas)
  • Pasangan yang mempunyai anak angkat
  • Ahli perniagaan
Anda perlu merancang dari sekarang. Kenapa? Dengan membuat hibah bersyarat, anda boleh menghibahkan kepada anak anak secara sama rata, hibahkan kepada anak perempuan anda, dan hibahkan harta kepada suami/isteri anda.

Kelebihannya hibah ialah ianya telah terkeluar dari pusaka. Maksudnya tidak akan dikira dalam faraid. Dan waris wajib ikut apa yang diperintahkan hibah oleh Ali.

Situasi 3

Ali sangat sayang kepada anak perempuan dan isteri, Beliau juga tahu mereka akan dapat bahagian paling sedikit, selebihnya akan dapat kepada adik-beradik lelakinya. Oleh itu, beliau pun hibahkan rumah, duit akaun Tabung Haji, tanah di kampong, kepada isteri dan anaknya.

Apabila Ali meninggal dunia, rumah dan juga duit akaun Tabung Haji akan menjadi 100% milik isteri dan anaknya. Adik-beradiknya lelaki Ali tidak boleh menuntut kerana itu bukan harta pusaka, ianya telah terkeluar kerana Ali sudah hibahkan kepada isteri dan anaknya waktu Ali hidup.

Sekarang, nampak perbezaan fungsi hibah dan wasiat?

Setiap instrumen ada kepentingan dan kegunaannya. Jika ada kawan-kawan yang membuat wasiat, terangkan mereka perkara ini. Wasiat bukan untuk waris. Jika buat kepada waris sekalipun, waris ada hak untuk mengikutinya atau tidak. Jika ingin agihkan harta pusaka, buatlah hibah. Rancang harta pusaka anda sekarang.

Jika bermanfaat, sila share supaya orang lain juga mendapat manfaatnya.

Bantulah sahabat lain untuk dapatkan info yang betul, serta rancang harta pusaka anda supaya menjadi harta yang berkah yang merapati waris, bukan harta yang menjadi puaka.

Image result for KARTUN PENING

Sunday, 1 October 2017

SOAL JAWAB PUSAKA & FARAID

(1)
SOALAN:
Bukankah harta pusaka orang Islam akan dibahagikan terus ikut hukum faraid selepas kematian?

JAWAPAN:
Faraid adalah tatacara pengagihan berdasarkan hukum syarak yang telah menetapkan bahagian tertentu kepada waris tertentu berdasarkan surah An-Nisa ayat 11, 12 dan 176, tetapi ianya tidak berjalan secara terus selepas kematian.

Sebaliknya harta pusaka akan terbeku dan tidak boleh dibahagikan. Untuk membolehkan harta pusaka diagihkan kepada waris-waris, perlu melalui proses pentadbiran iaitu mendapatkan surat kuasa mentadbir atau probet.


(2)
SOALAN:
Apakah yang dimaksudkan dengan Faraid tidak berjalan terus dan harta terbeku?

JAWAPAN:
Selepas kematian, harta pusaka akan terbeku yang bermaksud sebarangtransaksi tidak dapat dijalankan termasuklah mengeluarkan wang dari dalam bank, menutup akaun, menukar nama di dalam geran dan memperbaharui cukai jalan kenderaan.

Terdapat 2 peringkat yang perlu dilalui oleh harta pusaka bagi membolehkannya dipindah miik kepada waris iaitu:
1. Pentadbiran bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir untuk memindahmilik harta kepada waris yang masih hidup; dan
2. Pengagihan berdasarkan kepada kaedah yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Oleh itu, jika peringkat pertama tidak selesai, pengagihan tidak dapat dijalankan. “


(3)
SOALAN:
Saya dan suami ada membeli rumah dan meletakkan dua nama - nama suami dan nama saya. Pinjaman rumah atas nama saya. Bagaimana jika suami saya meninggal dunia dahulu?

JAWAPAN:
Bagi rumah yang atas dua nama, setiap pemilik secara langsung mempunyai hak milik sebanyak 50% seorang. oleh itu apabila berlaku kematian pada salah seorang, maka bahagian pimilik yang telah meninggal dunia itu akan menjadi pusaka dan difaraidkan.

Jika hutang atas nama pemilik yang masih hidup, hutang tersebut akan terus dibayar oleh pemilik (penghutang) yang masih hidup walaupun 50% bahagian rumah tersebut telah ditukar kepada nama waris faraid pemilik yang telah meninggal dunia.


(4)
SOALAN:
Saya telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan dan saya berhasrat mewasiatkan harta saya kepada suami dan anak saya.
Adakah seorang wanita juga perlu mengikut sistem faraid untuk memberi harta kepada keluarganya?
Adakah saya perlu mengikut sistem faraid atau saya boleh terus mewasiatkan harta kepada mereka?

JAWAPAN:
Ya, harta pusaka orang Islam, tidak kira lelaki atau perempuan adalah tertakluk kepada faraid.

Di dalam wasiat boleh dinyatakan hasrat pewasiat tanpa mengikut had faraid. Selepas kematian, wasiat yang mana pengagihan hartanya tidak mengikut had faraid memerlukan persetujuan semua waris faraid. jika waris faraid setuju dengan hasrat pemberian pewasiat, maka hasratnya dilaksanakan.


(5)
SOALAN:
Adakah caruman KWSP boleh wasiatkan?

JAWAPAN:
Ya. Boleh.


(6)
SOALAN:
Saya meletakkan isteri sebagai penama di dalam KWSP. Adakah isteri aya akan mendapat keseluruhan wang KWSP saya?

JAWAPAN:
Ya, isteri akan mendapat keseluruhan wang KWSP tersebut tetapi bertanggungjawab sebagai wasi yang mana wajib membahagikan wang tersebut kepada waris faraid mengikut hukum faraid.


(7)
SOALAN:
Saya meletakkan anak saya yang berumur 10 tahun sebagai penama dalam KWSP. Bagaimana jika saya meninggal dunia ketika anak saya masih di bawah umur?

JAWAPAN:
Wang KWSP tersebut tidak dapat dikeluarkan kepada anak sehingga cukup umur 18 tahun. Biasanya wang tersebut akan dipindahkan ke Amanah Raya untuk dipegang sehingga anak anda dewasa.

Anda boleh melantik wasi di dalam wasiat dan wasi tersebut boleh mengeluarkan wang KWSP tersebut untuk dibahagikan kepada waris anda atau untuk digunakan bagi kebajikan anak anda sementara menunggu anak anda dewasa.

(8)
SOALAN:
Saya telah menganut agama Islam dan ibubapa masih beragama Buddha. Adakah ibu bapa saya akan mewarisi harta pusaka saya selepas saya meninggal dunia nanti?

JAWAPAN:
Hanya orang Islam boleh mewarisi daripada orang Islam. Oleh kerana ibubapa anda bukan Islam mereka tidak boleh mewarisi daripada anda.


(9)
SOALAN:
Saya telah bercerai dengan isteri saya. Bolehkah bekas isteri saya menuntut hak terhadap harta pusaka saya apabila saya mati nanti?

JAWAPAN:
Tidak. Bekas isteri tidak berhak mewarisi dari bekas suaminya.


(10)
SOALAN:
Saya anak angkat. Ibubapa angkat saya masih lagi hidup. jika mereka meninggal dunia nanti, bolehkan saya mewarisi harta pusakanya memandangkan ibubapa angkat saya tiada anak kandung?

JAWAPAN:
Tidak. Anak angkat tidak mewarisi harta pusaka ibubapa angkatnya melainkan ibubapa angkat tersebut menulis wasiat dan memberi sebahagian hartanya kepada anak angkat di dalam wasiat.

(11)
SOALAN:
Saya adalah anak luar nikah. Bolehkah saya mewarisi daripada ibubapa sebenar saya?

JAWAPAN:
Hanya boleh mewarisi dari ibu sahaja.


(12)
SOALAN:
Bolehkah saya menulis wasiat dan memberikan kesemua harta saya kepada isteri saya? Adakah waris saya yang lain boleh menuntut?

JAWAPAN:
Boleh menulis wasiat dengan memberikan kesemua harta kepada isteri. Wasiat tertakluk kepada faraid, oleh itu waris faraid yang lain boleh menuntut hak faraid mereka.




credit: http://pakarpusakaislam.blogspot.my/p/soal-jawab-pusaka.html